Assalamualaikum semua :)
Kedatangan bulan Ramadan memang dinantikan oleh semua umat Islam. Tak lama lagi ni, seminggu lebih jer lagi. Bagi ibu hamil, ada pengecualian daripada menjalani ibadah ini jika tiada upaya. Namun demikian bagi yang tiada masalah mual dan loya, kedatangan Ramadan amat disyukuri kerana inilah peluang untuk berpuasa penuh dengan izin Allah SWT.
Bagi yang teruk ‘morning sickness’, jangan paksa diri untuk meneruskan puasa. Fikirkan keadaan diri dan anak yang dikandung terutama bakal ibu yang baru berada dalam trimester pertama.
Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya. Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.
Tips Pemakanan Ketika Puasa Untuk Ibu Mengandung
- Perbanyakkan minum air masak semasa sahur dan selepas berbuka sepanjang malam, untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak 2-3 liter sehari. Dan jangan lupa minum susu juga ok.
- Jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin
- Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.
- Supaya anda mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan protein dan berserat. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat dan juga protein. Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.